SABTU, 3 JULAI 2021
KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak di Dewan Serbaguna Datuk Daud Abdul Rahman, Kampung Matang Batu 10 pada Sabtu.
Dalam sidang media selepas lawatan tersebut, Ketua Menteri memberitahu, Program Outreach Vaksinasi Bergerak yang diadakan itu bertujuan memberi suntikan vaksin COVID-19 dengan menggunakan bas di kawasan pinggir bandar yang mana ia mempunyai prosedur yang sama seperti yang dilakukan di kawasan pedalaman.
Ujar beliau, pendekatan seperti itu turut menyumbang bagi menjayakan sasaran 80 peratus rakyat Sarawak mendpt suntikan pada bulan Ogos ini.
“Saya telah difahamkan hari ini mereka akan menyuntik kira-kira 1000 orang di kawasan ini.
“Program ini membolehkan rakyat kita mendapat suntikan tanpa pergi ke tempat yang lain dan mereka juga mempunyai satu pasukan lagi yang akan ke rumah penerima vaksin khusus untuk mereka yang uzur serta tidak dapat keluar untuk mendapat suntikan.
“Ini adalah satu usaha bagi pihak kita untuk memastikan rakyat Sarawak mendapat suntikan seperti mana yang telah kita sebutkan,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini program ‘Outreach’ Vaksinasi Bergerak telah melakukan suntikan kepada seramai 1,460 suntikan di Kampung Kolong 2, seramai 960 suntikan di Kampung Paroh dan 16 orang kepada mereka yang terlantar di rumah.
Dalam sidang media sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan, hampir 1.5 juta rakyat Sarawak telah disuntik vaksin COVID-19 setakat Jumaat.
“Secara keseluruhannya, Sarawak telah menyuntik 1,227, 579 orang untuk dos pertama iaitu pencapaian sebanyak 42 peratus manakala rakyat Sarawak yang telah menerima suntikan dos kedua adalah sebanyak 261, 280 iaitu pencapaian 10 peratus dan Jumlah dos yg telah diberi kepada rakyat ialah 1,488,859 setakat 2 Julai,” jelas Ketua Menteri lagi.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut memberitahu, suntikan vaksin COVID-19 di Bahagian Kuching termasuk Bau dan Lundu telah mencatatkan peningkatan setakat hari ini.
“Bahagian Kuching termasuk Bau dan Lundu, kita telah dapat menyuntik 304,570 suntikan dos pertama.
“Kalau dua hari lepas kita mendapat 290,000 di Majma dan hari ini telah meningkat kepada 304,570 iaitu 52.25 peratus.
“Dos kedua di Bahagian kuching, kita telah menyuntik 62,367 setakat 3 Julai,” ujarnya.
Hadir sama dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof, Ahli Dewan Negara, Senator Dr Zaiedi Suhaili, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ik Pahon Joyik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman.-EDISI UKAS