Senarai Penerima Vaksin Berdaftar Di Dalat Meningkat

SABTU, 3 JULAI 2021

DALAT: Proses pendaftaran secara manual telah membantu meningkatkan jumlah pendaftaran penduduk untuk divaksinasi di kawasan Dalat.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, setakat ini sebanyak 92.4 peratus dari 11,468 penduduk di situ telah mendaftar untuk menerima vaksin.

“Selepas perbincangan bersama pegawai daerah dan KMKK, untuk membuat pendaftaran secara manual pada pusingan kedua, pendaftaran tersebut meningkat kepada 92.4 peratus yang layak divaksinasi.

“Mengikut populasi E-census 2020, seramai 11,468 penduduk di Dalat layak untuk divaksinasi,” jelasnya ketika ditemui semasa meninjau proses pemberian vaksin di Dalat baru-baru ini.

Menurut ADUN Dalat itu, pasukan vaksinasi bergerak juga turut digunakan bagi memperluaskan proses imunisasi selain Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Dalat.

Katanya, setakat 30 Jun, jumlah penduduk yang telah mendapat dos pertama daripada yang mendaftar ialah 8790 dan daripada jumlah tersebut 735 telah menerima dos yang kedua.

Jelasnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dalat mensasarkan semua penerima yang layak mendapat suntikan dos pertama pada Julai dan dos kedua pada Ogos depan.

Sementara itu, dalam program berasingan, Dato Sri Fatimah berkesempatan meninjau tapak pembinaan parkir di Pasar Dalat yang telah siap sepenuhnya di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sebanyak RM500,000.

Katanya, parkir baru itu yang dapat memuatkan 37 parkir kereta dan 37 parkir motosikal diyakini menyelesaikan masalah parkir yang membelenggu kawasan itu sebelum ini.

Tambah beliau lagi, satu jawatankuasa pengurusan turut diwujudkan bagi menguruskan permohonan peniaga untuk berniaga di kawasan parkir itu nanti. – EDISI UKAS