YaPEIM Sumbang Bekalan Makanan Kepada 250 KIR Di Bau

SABTU, 3 JULAI 2021

BAU: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Sarawak telah menyumbang bantuan bekalan makanan kepada 250 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dari 16 kampung di Bau, menerusi Pogram Foodbank YaPEIM 3.0.

Ia membabitkan kampung Blimbing (35 KIR), Kawasan Jambusan (5 KIR), Kampung Kranji (15 KIR), Kampung Pedaun Bawah (19 KIR), Kampung Buso (10 KIR), Kampung Seberang Buso (10 KIR), Kampung Melayu Bau (10 KIR), Kampung Pengkalan Melayu (10 KIR), Kampung Opar (10 KIR), Tembawang Baru (10 KIR), Siniawan Baru (10 KIR), Kampung Atas (21 KIR), Kampung Badul (21 KIR), Kampung Lidah Tanah (8 KIR), Kampung Bukit Pancur (8 KIR) dan Kampung Bunga Rampai (8 KIR).

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Ketua Penyelaras Komuniti Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri Sarawak, Siti Aminah Dolah @ Abdullah, bertempat di perkarangan Pejabat Daerah Bau, pada Jumaat.

Bantuan berupa makanan asas antaranya seperti beras, minyak masak, kicap, sos, gula, tepung gandum, teh, biskut dan mi hun  itu bertujuan meringankan beban keluarga dari kelompok B40, yatim piatu dan asnaf sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi yang turut membantu dalam melancarkan pengagihan makanan tersebut adalah Jabatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Daerah Bau. -EDISI UKAS