5,250 Penduduk Gedong Berjaya Divaksinasi Dos Pertama

SABTU, 3 JULAI 2021

GEDONG : Tinjauan hari terakhir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Gedong pada Jumaat mendapati seramai 3,200 penduduk telah divaksinasi, menjadikan jumlah keseluruhan yang berjaya menerima vaksin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, seramai 5,250 orang.

Jumlah ini termasuk mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin di PPV RTC Munggu Lalang untuk Zon Ulu Simunjan pada 14 Jun yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais yang hadir memantau pelaksanaan proses pada hari tersebut amat berpuas hati dan beterima kasih kepada petugas-petugas dan agensi-agensi yang bertungkus-lumus menjayakan program.

PPV Dewan Masyarakat Kampung Gedong telah beroperasi selama 6 hari bermula 23 Jun lalu dan akan meneruskan Program Imunisasi COVID-19 bagi dos kedua, pada 14 Julai akan datang. -EDISI UKAS