SABTU, 3 JULAI 2021
SRI AMAN : Kerajaan Sarawak telah mengaktifkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terutamanya di kawasan luar bandar untuk beroperasi secara jumpa terus ‘walk-in’.
Melihat kepada keberkesanan kaedah tersebut terutamanya di kawasan luar bandar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman telah memperluaskan kaedah tersebut di PPV Dewan Suarah Sri Aman.
Tinjauan di PPV berkenaan pada Jumaat mendapati proses vaksinasi secara “walk-in” yang bermula jam 11 pagi sehingga jam 4 petang mendapat sambutan menggalakkan apabila sejumlah 650 individu pelbagai lapisan umur dari 18 tahun keatas mendaftar untuk menerima vaksin sementara 300 individu lagi didaftar melalui sistem hibrid di Pejabat Daerah Sri Aman.
Sehingga kini 62 peratus penduduk Sri Aman telah menerima vaksin dan dijangka sasaran 80 peratus penduduk Sri Aman selesai divaksin menjelang Ogos 2021, akan tercapai. -EDISI UKAS