Dijadikan PPV, Klinik Kesihatan Siniawan Masih Beroperasi Seperti Biasa Untuk Pesakit Luar

SABTU, 3 JULAI 2021

BAU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Siniawan di daerah ini terus mempergiatkan pemberian dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Pegawai Perubatan Menguasa Klinik Kesihatan Siniawan, Dr Muhammad Nu’Man Jeman, pemberian 320 dos suntikan pertama vaksin jenis Sinovac telah berjaya dilakukan setakat ini sejak PPV tersebut beroperasi pada 18 Jun lepas.

Katanya, penerima yang hadir melibatkan golongan berumur 18 tahun ke atas yang mana sebelum ini semuanya telah mendaftar di PPV berkenaan terlebih dahulu,  sebelum dimasukkan ke dalam sistem MySejahtera dan ditetapkan temujanji.

Walaupun demikian katanya, terdapat juga yang pergi mendapatkan dos suntikan vaksin ke PPV Dewan Bomba Bau setelah mendapat temujanji, memandangkan program berkenaan bukan hanya untuk masyarakat sekitar Siniawan sahaja tetapi juga terbuka kepada masyarakat di daerah Bau.

Dalam pada itu, Klinik Kesihatan Siniawan masih beropersi seperti biasa untuk pesakit luar. -EDISI UKAS