Seramai 420 Individu Lagi Terima Vaksin Di PPV Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong

AHAD, 4 JULAI 2021

SEBUYAU: Seramai 420 orang lagi menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong pada Sabtu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah divaksinasi di kawasan Zon Sebangan dari 28 Jun lepas sehingga Sabtu adalah seramai 2,020 orang.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi turut hadir meninjau proses vaksinasi di PPV Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong.

Tinjauan yang dilakukan mendapati proses pemberian vaksin berjalan lancar dan terkawal dengan para penerima hadir mengikut temujanji yang ditetapkan.

Dalam pada itu, penerima vaksin yang ditemui berterima kasih kepada kerajaan Sarawak di atas usaha melakukan program vaksinasi terutamanya di kawasan luar bandar.

Mereka juga bersyukur kerana telah menerima suntikan pertama dan bersedia untuk menerima suntikan kedua pada tarikh temujanji seterusnya. -EDISI UKAS