SABTU, 3 JULAI 2021
LINGGA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkesempatan meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah Kecil Lingga, pada Sabtu.
Beliau berpuas hati terhadap kelancaran proses dan menurutnya pelaksanaan program amat teratur dan cepat.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif kerajaan Sarawak dalam mengambil pendekatan ‘vaksin dahulu daftar kemudian’, yang mana amat memudahkan lagi urusan pemberian vaksin secara menyeluruh kepada rakyat.
Semasa lawatan tersebut juga, beliau telah menyumbang air minuman sebanyak 50 kotak kepada petugas serta penerima yang hadir, termasuk menyediakan sarapan pagi kepada petugas-petugas di PPV berkenaan.
Pemberian vaksin dos kedua jenis Sinovac yang dijangka selesai pada 7 Julai itu melibatkan sebanyak 1,045 orang penduduk sekitar Lingga dan Seduku.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Daerah Kecil Lingga, Mohammad Firdauz Abdillah, Penolong Pegawai Perubatan Bahagian Sri Aman, Terence Agas serta Penghulu Wan Amit Wan Kamil. -EDISI UKAS