476 Orang Terima Vaksin Di PPV Dewan Masyarakat Tebedu

ISNIN, 5 JULAI 2021

TEBEDU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu telah berjaya menyuntik seramai 476 orang pada Sabtu.

Kesemua penerima adalah dari tiga buah kampung iaitu Kampung Sebintin, Kampung Payau Burus dan Kampung Batu Bedang yang merupakan kampung pertama yang telah melengkapkan dos kedua mereka.

Menurut Penyelaras PPV Tebedu Dr. Nor Shamira, mereka yang menerima suntikan Dos kedua itu adalah daripada temujanji menggunakan aplikasi di MySejahtera dan juga secara hibrid.

Katanya, PPV tersebut turut melakar sejarah di mana seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) telah menerima suntikan Vaksin Kedua beliau didalam kereta.

“Mana-mana ahli keluarga mereka yang sakit terlantar atau tidak dapat berjalan boleh juga mohon maklum dengan ketua kaum masing-masing supaya satu temujanji khas dapat diatur dengan segera.

“Petugas PPV di sini akan sentiasa bersedia membantu malah akan terus memberi keutamaan dan perkhidmatan terbaik kepada warga emas dan OKU,” ujarnya. -EDISI UKAS