ISNIN, 5 JULAI 2021
SADONG JAYA : Seramai 50 golongan asnaf yang tersenarai, termasuk mereka yang ketinggalan dalam pengagihan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) akan menerima bantuan sumbangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersempena Program Ziarah UKAS.
Pada Ahad, bantuan berupa barangan makanan, keperluan harian, pelitup muka serta cecair pencuci tangan itu diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo kepada wakil penerima yang terdiri daripada Penghulu dan Ketua Kaum dari setiap kampung, memandangkan kehadiran individu bagi program tersebut dihadkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Antara kampung yang terlibat untuk pengagihan bantuan adalah Kampung Iboi, Pelandok, Jaie, Sadong Jaya Laut, Sadong Jaya Ulu dan Bilis.
Dalam ucapan ringkas Ir Aidel semasa program tersebut, beliau menyentuh mengenai kepentingan tugas dan peranan pihak UKAS yang merupakan wadah dalam menyalurkan maklumat, berita yang sahih kepada penduduk dan masyarakat khususnya di kawasan pedalaman termasuk DUN Sadong Jaya yang kemudiannya akan disalurkan melalui media sosial berkaitan dengan dasar kerajaan negeri dengan jujur, telus dan tepat.
Sehubungan dengan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak UKAS yang telah bertungkus lumus membantu penduduk sekaligus menjayakan program tersebut.
Wakil penerima, Penghulu Salleh Kemis dari Sadong Jaya Ulu juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan UKAS atas keprihatinan menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban penduduk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -EDISI UKAS