Ahli Parlimen Limbang Rasmikan Soft Launching Bantuan Bakul Makanan PEMULIH

ISNIN, 5 JULAI 2021

LIMBANG: Baru-baru ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Tiga fokus utama PEMULIH ialah Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Sebanyak RM300,000 telah diperuntukan bagi setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi membantu golongan yang terkesan disebabkan pelaksanaan PKP dan pandemik COVID-19 sekaligus memperkasakan pelaksanaan supaya lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara.

Di Limbang, Ahli Parlimennya Datuk Hasbi Habibollah yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia telah menyampaikan Bantuan Bakul Makanan secara simbolik ‘Soft Launching’ dengan menyerahkan sendiri kepada empat orang penerima di Kampung Pahlawan dan seorang di Kampung Limpaki pada Ahad. 

Antara barang di dalam bakul makanan tersebut adalah beras 10kg, Milo, susu, bihun, sardin, biskut, garam, gula, minyak masak, tepung dan lain-lain.

Penyerahan Bantuan Bakul Makanan di Parlimen Limbang dibuat secara berfasa dengan fasa pertama di kawasan Parlimen Limbang melibatkan 1,333 orang penerima.

Senarai ini berdasarkan senarai nama penerima bantuan kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang dan juga senarai golongan asnaf dari Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Limbang.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abd Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang Alexander Lucas Khiu Kwong Huat, Pemanca Abu Bakar Tinggal, Penghulu Sahat Bagol, Ketua Kampung Pahlawan Hussein Burut dan Ketua Kampung Limpaki Muntil Brehim. -EDISI UKAS

Share
0

add comment