ISNIN, 5 JULAI 2021
KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengucapkan tahniah kepada pemain Sape tempatan terkenal, Alena Murang bersama Sarah Lois Dorai yang telah memenangi ‘Best Asia & Pacific Music Video’ serta ‘Honourable Mention for Best Costume’ di ‘International Music Video Awards’ (IMVA) di United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Dalam kenyataannya pada Isnin, beliau memberitahu, video muzik mereka yang berjudul ‘Warrior Spirit’ dilancarkan di YouTube pada 27 Mei lepas menarik perhatian lebih daripada 149,000 tontonan dari seluruh dunia dan berjaya menambat hati para juri IMVA dari pelbagai negara.
“Ini meletakkan Sarawak dan Malaysia di persada muzik antarabangsa yang sangat kompetitif tetapi mereka telah menunjukkan bahawa artis Sarawak mampu menggunakan muzik dan pembuatan filem kreatif sebagai platform untuk mempamerkan warisan tradisional Sarawak dan Borneo,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan itu menambah, kedua-duanya telah memberikan inspirasi kepada belia untuk mengikuti jejak mereka terutamanya dalam industri muzik, kreatif termasuk pembuatan filem yang menggalakkan generasi muda untuk mempamerkan bakat mereka.
“Video muziknya dibuat dengan baik dan jalan cerita yang memukau imaginasi penonton dengan menunjukkan betapa indahnya negeri Sarawak terutamanya mengenai sejarah, budaya, seni dan tradisi.
“Inspirasi kreativiti yang mereka ambil dari pelbagai budaya etnik, tarian tradisional dan kostum berwarna-warni yang terdapat di Sarawak dipamerkan dalam keseluruhan video menghubungkan semangat pahlawan tempatan, kekuatan dan keberanian dalam perjuangan bersama,” tambahnya lagi. –EDISI UKAS