Kerajaan Sarawak Akan Pastikan Kawasan Luar Bandar Dan Pedalaman Terus Menikmati Pembangunan

ISNIN, 5 JULAI 2021

TATAU: Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya luar bandar dan pedalaman turut sama mengalami pembangunan berterusan. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, atas sebab itu Kerajaan Sarawak setiap tahun menyalurkan peruntukan dan projek pembangunan untuk rakyat. 

“Di kawasan Lunok Kubong ini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Bekalan Air Luar Bandar (SAWAS). 

“Projek ini telah pun bermula, tetapi mengalami sedikit kelewatan berikutan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya semasa berucap dalam Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus di Rh Ado, Lubok Kubong, Kakus pada Sabtu. 

Sebanyak 7 buah JKKK rumah panjang di kawasan Sungai Kakus menerima peruntukan cek MRP antaranya JKKK Rh Ado, JKKK Rh Billy, JKKK Rh Nyuan, JKKK Rh Layang, JKK Rh Sujang, JKKK Rh Malo dan JKKK Rh Ta’a dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM239,000.

Tambahnya, JKKK dan penduduknya digesa menggunakan sebaiknya untuk penganjuran aktiviti dan pembangunan di rumah panjang.

Dalam pada itu, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menjelaskan JKKK yang masih belum menerima peruntukan tersebut harap bersabar kerana masih ada cek yang akan dikeluarkan pada tahun ini.

“Pengagihan cek MRP ini adalah dibuat secara berperingkat dan dibuat secara bergilir-gilir. 

“Kawasan Kakus yang begitu luas sehingga ke Bahagian Mukah, Selangau, Long Beyak, Ulu Anap dan Kakus meliputi lebih 400 buah rumah panjang,” jelasnya. 

Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis dan Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong. -EDISI UKAS

Share
0

add comment