Lagi 1,000 Individu Terima Vaksin Di PPV Serian

ISNIN, 5 JULAI 2021

SERIAN: Seramai 1,000 orang individu lagi menerima suntikan dos vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Serian pada Ahad.

Daripada keseluruhan penerima itu, 287 orang terdiri daripada ibu hamil, manakala 713 penerima lagi hadir bagi mendapat suntikan dos pertama dan kedua.

Sementara itu, seorang ibu hamil yang menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNtech, Izreen Fara Abdul Kadir, 26, berkata, beliau berasa teruja apabila menerima tarikh temujanji vaksinasi beberapa hari sebelum itu.

Beliau yang kini sarat mengandung 32 minggu tidak teragak-agak untuk datang bagi mendapatkan vaksinasi kerana yakin bahawa vaksin akan melindungi diri dan bayinya.

Tambahnya, suami beliau turut menyokong tindakannya itu demi keselamatan bayi sulung mereka.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan mendapati semua penerima vaksin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -EDISI UKAS