Masih Ada Masa Untuk Daftar Mendapatkan Vaksin, Maklumkan Kepada Tuai Rumah

ISNIN, 5 JULAI 2021

TATAU: Kerajaan sekarang berusaha untuk memastikan penularan wabak pandemik COVID-19 ini dapat dihentikan menerusi suntikan vaksin. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berharap kes positif COVID-19 akan turun dan masyarakat akan dapat menjalani kehidupan secara normal tanpa perlu sekatan pergerakan. 

“PPV Bergerak telah dibuat di beberapa tempat seperti di Klinik Sangan. 

“Walaupun tidak perlu berdaftar dengan MySejahtera, datanglah ke PPV yang berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Inilah keperihatinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mahu setiap rakyat mendapat suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MRP ADUN Kakus di Rh Christopher Ricky, Ulu Mejau, Kakus pada Sabtu. 

Sebanyak 5 buah JKKK rumah panjang menerima cek MRP dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM90,000.00. 

Antara JKKK yang menerima cek MRP ialah Rh Enjan, Rh Adenny, Rh Jeti, Rh Tedong dan Rh Kallang. 

Sementara itu, Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong menggesa penduduk yang masih belum menerima vaksin masih boleh mendaftar nama kepada tuai rumah dan pada masa membantu meyakinkan mereka yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19. 

“Tuai  rumah harus menghantar nama penduduk yang masih belum menerima suntikan vaksin kepada klinik-klinik yang berdekatan. 

“Bagi yang telah menerima suntikan, yakinkanlah kepada rakan-rakan yang belum menerima suntikan supaya mereka bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 ini. 

“Walaupun tiada paksaan untuk mendapat suntikan vaksin ini namun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau sentiasa memastikan agar semua yang layak mendapat suntikan vaksin untuk kebaikan kita semua,” katanya. 

Bagi wakil JKKK Rh Ricky, Ulu Mejau, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan ADUN Kakus atas pemberian peruntukan MRP ini yang selama ini banyak membantu pembangunan rumah panjang mereka. 

“Kami ada menerima peruntukkan seperti ini sejak tahun 2010 dan ianya digunakan untuk membeli atap rumah panjang. 

“Seterusnya, digunakan untuk membeli mozek ruai, mozek tepi rumah panjang. 

“Semua peruntukkan yang diberikan adalah digunakan untuk pembangunan rumah panjang kami,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment