PPV UNIMAS Jayakan Vaksinasi Penduduk Di Zon Tanjong Bako

ISNIN, 5 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan salah satu daripada tiga PPV yang memberikan vaksinasi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, penduduk di tiga buah kampung dalam Zon Tanjong Bako menerima vaksin COVID-19 di PPV Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Di DUN Demak Laut, kita mempunyai tiga buah PPV dan dua PPV Bergerak bagi Program ‘Outreach’ Vaksinasi yang memberikan suntikan vaksin COVID-19. 

“3 PPV sedia ada ialah PPV Stadium Perpaduan Negeri, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan PPV UNIMAS. Manakala, dua PPV Bergerak ialah di Klinik Kesihatan Bako dan Tanjung Embang.

“Penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Tanjong Bako, Pinggan Jaya dan Muhibbah mendapat suntikan vaksin COVID-19 di PPV UNIMAS,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV UNIMAS baru-baru ini. 

Dalam lawatan itu, Dr Hazland yang merupakan Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu telah diberikan taklimat mengenai proses vaksinasi oleh Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

“Tahniah dan syabas kepada Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bersama dengan kakitangan UNIMAS yang berjaya mengurus dan mengendalikan PPV UNIMAS yang turut dikenali sebagai PPV Mega. 

“Sehingga kini, PPV UNIMAS telah memberikan vaksinasi lebih 51,000 dos dalam tempoh 15 hari. 

“Ini termasuklah lebih 1,000 penduduk di Zon Tanjong Bako yang mendapat vaksin COVID-19,” ujarnya. -EDISI UKAS