ISNIN, 5 JULAI 2021
BINTANGOR: Sebanyak RM527,500 peruntukan telah diluluskan untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) 19 buah rumah panjang di empat penempatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.
Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan UKAS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol, penempatan terbabit adalah Mupong Tengah, Sungai Mupong Ulin, Mupong Muara dan Semaring yang melibatkan seramai 211 Ketua Isi Rumah (KIR).
Katanya, taklimat juga telah disampaikan kepada semua tuai-tuai rumah tentang syarat-syarat penggunaan peruntukan tersebut serta proses pelaksanaannya.
“Lawatan kerja ini bertujuan memaklumkan kelulusan projek penambahbaikan rumah panjang yang melibatkan Peruntukan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) untuk rumah panjang mereka sebanyak RM527,500.
“Semua tuai-tuai rumah telah dimaklumkan bagaimana peruntukan ini akan digunakan dan pelaksanaan projek penambahbaikan ini,” katanya kepada UKAS semasa lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Mupong, Bintangor pada Isnin.
Abdullah turut menasihati semua tuai-tuai rumah untuk mempastikan peruntukan itu digunakan seperti syarat-syarat yang diberi dan laporan lengkap tentang status projek mestilah disediakan.
Malah tegasnya, projek tersebut akan dipantau oleh Pejabat Daerah dan mungkin akan diaudit oleh kerajaan melalui pejabat SIMU.
Dalam pada itu, Abdullah turut mengambil kesempatan meminta kerjasama tuai-tuai rumah untuk mempastikan setiap individu dalam rumah panjang masing-masing hadir ke PPV di SK Mupong untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Jelasnya, Pejabat Daerah dan Jabatan Kesihatan Meradong akan menganjurkan program vaksinasi bergerak selama dua hari bermula Selasa (6 Julai) di PPV SK Mupong untuk masyarakat di empat penempatan tersebut.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan lampu solar kepada semua rumah panjang terbabit dengan setiap rumah akan menerima tiga unit kemudahan tersebut yang akan dipasang di jeti dan jalan utama ke arah jeti.
Selain itu, beliau turut menerima beberapa permohonan serta aduan tentang keadaan jeti dan jalan dalam kawasan rumah panjang yang rosak.
Sementara itu, beberapa tuai rumah yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Abdullah di atas kelulusan peruntukan projek penambahbaikan rumah panjang mereka serta sumbangan lampu solar. – EDISI UKAS