ISNIN, 5 JULAI 2021
TATAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta menukar nama di akaun bank masing-masing kepada nama tempat.
Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, ini bagi membolehkan segala urusan berkaitan kemasukan dan pengeluaran wang di akaun JKKK berjalan lancar sekiranya tuai rumah itu meninggal dunia atau bertukar.
“Sekiranya nama JKKK telah bertukar, kemaskini segera kepada Pejabat Daerah.
“Ini kerana terdapat satu kes di mana JKKK yang menggunakan nama tuai rumah dan pada masa sama tuai rumah tersebut telah bertukar tanpa mengemaskini kepada Pejabat Daerah.
“Keadaan ini menyebabkan cek terpaksa dipulangkan semula kerana masih menggunakan nama JKKK yang lama dan ini akan mengambil masa untuk mengeluarkan cek MRP yang baharu.
“Dengan menukar nama JKKK kepada nama tempat, ia akan memudahkan urusan kerana nama ini akan kekal sekiranya tuai rumah bertukar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MRP di Pejabat Daerah Tatau pada Ahad.
Sebanyak 16 JKKK rumah panjang telah menerima peruntukan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah keseluruhan ialah RM239,000.
Dalam pada itu, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menambah, gunakan peruntukan MRP ini dengan sebaiknya dan berbincang sesama sendiri di antara tuai rumah dan ahli JKKK bagaimana peruntukkan ini dibelanjakan untuk pembangunan dan program program di rumah panjang.
Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian. -EDISI UKAS