389 Orang Penduduk Dari Empat Kampung Terima Vaksin Di PPV Tebedu

SELASA, 6 JULAI 2021

TEBEDU: Program pemberian vaksin masih diteruskan di daerah Tebedu dengan melibatkan penduduk dari empat buah kampung pada Isnin.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Darul Oman, Kampung Tubih Behem, Kampung Tubih Mawang dan Kampung Kuhum Mawang.

Jumlah kumulatif individu yang menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 adalah seramai 389 orang.

Sementara itu, Pegawai Perubatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tebedu, Dr. NorShamira Mohd Radzi memberitahu, mana-mana ibu yang sedang hamil dan menyusu anak mereka adalah dinasihatkan untuk mendaftar di PPV Dewan Masyarakat Serian.

Tambah beliau, setakat ini PPV Tebedu belum lagi bersedia untuk menerima mana-mana ibu yang hamil dan menyusu anak atas sebab PPV Tebedu hanya menyuntik vaksin jenis Sinovac.

“Ibu yang hamil dan menyusu anak seharusnya disuntik dengan vaksin jenis Pfizer Biotech.

“Jadi saya mohon kepada semua ketua masyarakat agar memaklumkan perkara ini kepada penduduk kampung masing-masing bagi melancarkan pendaftaran mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan juga mendapati setiap petugas di PPV berkenaan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh penerima vaksin.

Para penerima vaksin juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang menyediakan vaksin secara percuma kepada rakyat dalam usaha mencapai imuniti kelompok menjelang hujung Ogos depan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment