64 Peratus Penduduk Bahagian Limbang Telah Dapat Vaksin Dos Pertama, Kibar Bendera Putih Jangan Ada Pihak Ambil Kesempatan

SELASA, 6 JULAI 2021

LIMBANG: Sehingga 4 Julai, jumlah penduduk Bahagian Limbang yang telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 dos pertama ialah 47,298 orang atau 64 peratus daripada 73,923 orang penduduk Bahagian Limbang yang layak sementara dos kedua pula seramai 16,005 orang atau 21.7 peratus.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, jumlah ini akan ditingkatkan lagi dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bulan Julai ini. 

“Jumlah penduduk yang layak untuk menerima vaksinasi ini iaitu berumur 18 tahun ke atas bagi daerah Limbang 40,797 orang dan yang telah menerima dos pertama setakat 4 Julai 2021 ialah seramai 22,446 orang dan jika dari segi peratusannya 55 peratus. 

“Sementara yang telah menerima dos kedua bagi Daerah Limbang adalah 8,273 orang iaitu dalam 20.3 peratus. 

“Bagi Daerah Lawas yang layak menerima vaksinasi ini berumur 18 tahun ke atas adalah seramai 33,126 orang manakala yang telah berjaya menerima dos pertama seramai 24,852 orang iaitu dalam 75 peratus. Sementara itu yang telah berjaya menerima dos yang kedua seramai 7,732 orang, dari segi peratusannya 23.3 peratus,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyerahkan simbolik sumbangan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Limbang pada Isnin. 

Dalam majlis itu Datuk Amar Awang Tengah telah menyaksikan penyerahan Alat Bantuan Pernafasan (Ventilator) sebanyak 4 unit sumbangan Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh.

Turut disampaikan barangan minuman 100 Plus sebanyak 150 kotak daripada Syarikat F&N, minuman Mineral Water 150 kotak daripada Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan sumbangan bakul makanan di bawah Program Peladang Prihatin Sarawak daripada Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang. 

Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah mewakili Kerajaan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negara Brunei Darussalam atas sumbangan kelengkapan perubatan bagi Sarawak yang telah diterima baru-baru ini. 

Katanya, ini adalah manifestasi perhubungan yang begitu rapat di antara kedua-dua buah negara dan juga manifestasi semangat kepedulian di antara satu dengan yang lain, apatah lagi semasa menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Sementara itu, menjawab soalan media mengenai tindakan mengibar bendera putih bagi golongan yang memerlukan bekalan makanan, Datuk Amar Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak sebelum ini telah memberikan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dan terbaru Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen bagi tujuan yang sama. 

Katanya, bagi mereka yang benar-benar memerlukan bantuan makanan akan dibantu dan jangan ada pula pihak yang mengambil kesempatan khususnya mereka yang berkemampuan. 

“Saya berharap perkara seperti ini, yang benar-benar memerlukan kita akan cuba berusaha membantu mereka tetapi jangan pula ada mereka yang mengambil kesempatan, orang yang berkemampuan pun turut mengambil kesempatan.

“Golongan yang berkemampuan boleh memberikan bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan apatah lagi dalam keadaan kita berdepan dengan pandemik COVID-19 ini, yang penting kita harus ikhlas dan jangan ada yang mengambil kesempatan. 

“Mana yang ada kemampuan seharusnya untuk kita meningkatkan lagi semangat bantu membantu di antara satu dengan yang lain,” ujarnya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah memberitahu, di Parlimen Limbang pengagihan bantuan makanan dibuat secara bersasar untuk B40 yang betul-betul susah.

“Kami akan menggunakan senarai nama yang ada dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sudah ditapis selama ini dan juga senarai golongan asnaf daripada Baitulmal. Jadi, mereka yang telah berada dalam senarai itu Insyallah memang akan dihantar iaitu sebanyak seribu tiga ratus lebih.

“Di samping itu juga selebihnya itu memang banyak juga yang menelefon dengan JKM untuk memohon bakul makanan tetapi mereka bukan dalam senarai penerima bantuan kebajikan namun permohonan mereka itu akan diperhaluskan JKM dan Pegawai Daerah berdasarkan kelayakan mereka.

“Perkara ini perlu ditapis juga kerana ianya bersasar,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pemborong bekerjasama memastikan bekalan seperti gula dan minyak masak mencukupi yang merupakan barangan keperluan dalam bantuan makanan. 

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Eksekutif Operasi LAKU Bahagian Limbang Rex Chua Chung Cheak dan wakil Syarikat F&N Daniel Lim. -EDISI UKAS

Share
0

add comment