ADUN Sebuyau Turun Padang Tinjau Projek RTP 2021

SELASA, 6 JULAI 2021

SEBUYAU: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2021 di kawasan Sebuyau akan memberi manfaat kepada penduduk apabila ia siap kelak.

Justeru bagi memastikan projek berjalan lancar, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi turun padang meninjau ke tapak-tapak Projek RTP tersebut pada pagi Selasa.

Antara projek RTP yang dilawati adalah tapak perparitan Kampung Sawmill yang berjumlah (RM150,000), tapak Perparitan Kampung Lot Baru (RM150,000) tapak perparitan Kampung Hulu (RM150,000) dan Jalan Kampung Hulu (RM150,000).

Turut ditinjau adalah tapak Perparitan Kampung Masjid (RM150,000) projek pelancongan IRSDA Bukit Ruai (RM1 juta) naik taraf adang futsal Kampung Baru Hilir (RM150,000) dan tapak perparitan Kampung Giat Mara (RM150,000).

Hasil tinjauan, beliau sangat berpuas hati dengan perkembangan projek-projek berkenaan dan yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Hadir sama dalam lawatan tersebut adalah Pegawai Tadbir Sarawak, Sebuyau Ajis Ahmad, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Pemanca Asli Yahya, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau, Penghulu Abu Seman serta para ketua kaum. -EDISI UKAS