Penduduk Rumah Panjang Di Kawasan Sungai Kakus Sahut Seruan Kerajaan Terima Suntikan Vaksin COVID-19

SELASA, 6 JULAI 2021

TATAU: Tahniah dan syabas kepada penduduk di kawasan Sungai Kakus kerana berjaya menyahut seruan kerajaan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 biarpun pelbagai cubaan dilakukan sesetengah pihak untuk menakutkan penduduk menerima vaksin ini. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai meminta sekiranya masih ada penduduk di kawasan Sungai Kakus ini yang tertinggal dan belum mendapat suntikan vaksin boleh mendapatkannya di Klinik  Kesihatan Sangan.

“Melalui suntikan vaksin ini diumpamakan sebagai mendapat dinding bulu (perisai) untuk menjaga diri kita. 

“Tiada cara lain untuk melindungi diri kita selain daripada mendapatkan vaksin seperti yang dilakukan ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobile Outreach di Dewan Masyarakat Punan, Rh Ado, Lubok Kubong pada Sabtu. 

Seramai 324 orang penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 dos kedua melibatkan 19 buah rumah panjang sekitar Sungai Kakus. 

Mengambil kesempatan itu, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini berjalan lancar dan menjadikan negeri paling banyak menerima suntikan vaksin setakat 1 Julai. 

“Saya memuji Kerajaan Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), doktor, jururawat dan semua petugas barisan hadapan kerana setakat ini Sarawak paling banyak menerima suntikan vaksin di Malaysia dengan jumlah penerima  suntikan dos pertama adalah lebih 38 peratus (setakat 1 Julai).  

“Ini membuktikan kerajaan kita di Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) betul-betul komited untuk membantu dan menjaga nyawa rakyatnya,” ujarnya. 

Beliau turut juga mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBB) Bintulu dan petugas barisan hadapan yang membantu proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘Mobile Team’ Klinik Kesihatan Tatau ini. 

Selepas meninjau proses vaksinasi, Datuk John Sikie telah menyerahakan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 7 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan jumlah keseluruhannya berjumlah RM239,000.

Turut hadir Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan Pakar Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tatau Dr. Tiong Chong Ying. -EDISI UKAS

Share
0

add comment