Program Outreach Mobilisasi Vaksin Bantu Mereka Yang Belum Terima Vaksin COVID-19

SELASA, 6 JULAI 2021

BINTULU: Satu lagi kawasan berisiko tinggi kes positif COVID-19 telah dikenal pasti di PPR Bandarian Park dan dilaksanakan Program Outreach Mobilisasi Vaksin COVID-19. 

Pegawai Kesihatan  Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang berkata, sebelum program ini dilaksanakan, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Bintulu telah menjalankan bancian terlebih dahulu untuk mengenal pasti mereka yang belum divaksin. 

“Sebelum kita mengadakan Program Outreach Mobilisasi Vaksin di PPR Bandaria Park, kita telah mengadakan bancian terhadap penduduk di PPR ini terlebih dahulu.

“Beberapa hari yang lalu kita telah mengenal pasti seramai hampir 1,000 orang penduduk di kawasan tersebut yang belum divaksin untuk dos pertama,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di Program Outreach Vaksinasi di PPR Bandaria Park pada Isnin. 

Dalam pada itu, ujar Dr. Melvin Chung lagi, Program Outreach Vaksinasi ini hanya diadakan pada sehari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. 

“Sekiranya kesemua mereka ini divaksin pada hari ini, maka seratus peratus penduduk kawasan PPR Bandaria Park ini sudah divaksin. 

“Oleh itu, kita telah mengadakan program Outreach Mobilisasi Vaksin pada hari ini (Isnin),” ujarnya. 

Program Outreach Vaksinasi ini akan diperluaskan ke kawasan berisiko tinggi yang lain dan sebelum dilaksanakan akan diadakan bancian bagi mengenalpasti mereka yang belum menerima vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment