Program ‘Outreach’ Vaksinasi Bergerak Di Daerah Tubau

SELASA, 6 JULAI 2021

MURUM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon turun padang bersama dengan Pasukan Program ‘Outreach’ Vaksinasi Bergerak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Tubau pada Isnin.

Beliau memaklumkan, penerima vaksin kali ini melibatkan 48 orang daripada Rumah Julaihi Keti, Sungai Sau, Ulu Jelalong.

“Dengan pengambilan vaksin COVID-19 yang lengkap boleh mengurangkan komplikasi penyakit COVID-19 sekaligus membantu mengurangkan risiko penularan COVID-19 di kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kennedy juga berkesempatan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Jelalong seperti yang dijanjikan pada Jelajah SarawakKu Sayang sebelum ini.

Pada Ahad, beliau turut bersama dengan Pasukan Program ‘Outreach’ Vaksinasi Bergerak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bintulu dan Klinik Kesihatan Tubau ke tiga buah rumah panjang di Ulu Jelalong.

Kennedy memberitahu, penduduk rumah panjang yang terlibat dalam program tersebut iaitu 34 orang dari Rumah Joseph Gawing, Sungai Satik, 34 orang dari Rumah Resa Dangon, Sungai Mekapan dan 46 orang dari Rumah Ramli Udau, Sungai Suan.

Tambahnya lagi, beliau amat kagum dan bangga dengan komitmen petugas barisan hadapan yang menggunakan perahu untuk menjalankan proses vaksinasi ke rumah-rumah panjang tersebut.

Dalam lawatan itu, Kennedy turut menyampaikan sumbangan kepada sukarelawan di PPV Klinik Kesihatan Tubau.–EDISI UKAS