Tan Sri James Masing Puji Usaha Kerajaan Sarawak Dalam Pemberian Vaksin

SELASA, 6 JULAI 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing prihatin terhadap kehidupan masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, beliau memuji kerajaan Sarawak atas usaha dalam memastikan rakyat mendapatkan vaksinasi.

“Saya telah memberikan bantuan kewangan bernilai lebih dari RM50,000 kepada ramai pekerja bergaji hari sejak wabak COVID-19 bermula pada Mac 2020.

“Mereka hanya bergantung kepada gaji hari seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan itu menambah, keadaan tersebut mendorong kerajaan mendapatkan vaksin COVID-19 dan bersikap agresif dalam melaksanakan program imunisasi.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah strategi yang tepat sebelum kewujudan vaksin untuk menghentikan penyebaran.

“Sekarang kita sudah mempunyai vaksin dan kita perlu menggalakkan vaksinasi pada rakyat agar imuniti kelompok dapat dibentuk sekaligus ekonomi dapat kembali seperti biasa,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh turut merakamkan penghargaan kepada para pemimpin negeri yang telah tampil untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat PKP dan memohon lebih banyak individu serta syarikat untuk bersama menghulurkan bantuan. –EDISI UKAS

Share
0

add comment