‘Welfare Task Force’ Ditubuhkan Bantu Golongan Hilang Punca Pendapatan Dapatkan Bekalan Makanan

SELASA, 6 JULAI 2021 

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dengan kerjasama beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) telah bersetuju dan sepakat menubuhkan ‘Welfare Task Force’ bagi membantu golongan yang memerlukan bekalan makanan akibat hilang punca pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

Pengerusinya Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Isnin berkata, Mesyuarat JPBB Miri sebulat suara bersetuju menubuhkan “Welfare Task Force” yang akan dipengerusikan Residen Bahagian Miri yang turut dianggotai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO’s bersama bagi menguruskan bantuan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di Bahagian Miri.

Katanya lagi, ‘Welfare Task Force” juga akan ditubuhkan di setiap daerah dan dipengerusikan oleh pegawai daerah masing-masing.

“JKM Bahagian Miri akan bertindak selaku sekretariat ‘Welfare Task Force’ ini yang akan menyiasat, menyelaras dan mengemaskini rekod-rekod bantuan. 

“NGO’s adalah dialu-alukan menyertai ‘Welfare Task Force’ untuk bersama menguruskan bantuan bagi mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. 

“Pengemaskinian rekod penerimaan bantuan ini dilakukan bagi memastikan golongan yang memerlukan bantuan tidak tercicir. Ini ialah usaha sama kerajaan melalui JKM bersama NGO’s dan badan-badan komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan,” katanya. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengajak organisasi kebajikan menyertai dan bersama kerajaan dalam menjayakan ‘Welfare Task Force’ ini.

“Mana-mana organisasi kebajikan yang ingin menyertai program usaha bersama ‘Welfare Task Force’ untuk tempoh PKP ini atau mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan dengan bantuan kebajikan boleh menghubungi JKM Bahagian Miri di talian 085-419073, 085-419072, 085-424534 atau 085-424535 yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan Cuti Umum dari jam 8 pagi hingga 5 petang atau melalui email pkmbmirisarawak@gmail.com.

“Mereka boleh memberikan senarai nama petugas sukarelawan, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit dan nombor pendaftaran kenderaan bagi tujuan penyediaan surat pengesahan menjalankan program kebajikan yang akan dikeluarkan JPBB Miri,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment