Atlet, Jurulatih SUKMA Sarawak Dari Sibu Terima Suntikan Vaksin

RABU, 7 JULAI 2021

SIBU: Seramai 35 atlet elit termasuk jurulatih skuad SUKMA Sarawak dari Sibu menerima suntikan vaksin dos pertama bertempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Sibu pada Rabu.

Menurut Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merangkap ADUN Nangka, Dr. Annuar Rapaee, semua atlet tersebut akan mengambil bahagian dalam temasya SUKMA Johor yang dijadual berlangsung pada 2022.

Katanya, atlet yang terlibat mengambil bahagian dalam pelbagai jenis sukan dan ketika ini mereka sedang menjalani latihan kendiri di rumah masing-masing.

“Sebab itu vaksinasi ini sangat penting untuk membolehkan semua atlet berkumpul semula dan kembali menjalani latihan.

“Saya percaya dalam beberapa minggu akan datang, selepas PKP dilonggarkan, atlet akan dibenarkan kembali ke pusat latihan untuk menjalani latihan,” katanya kepada media semasa melawat program vaksinasi tersebut pada Rabu.

Menjawab lanjut pertanyaan media, Dr. Annuar berkata latihan berpusat atlet masih diteruskan namun dihentikan sementara kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, beberapa atlet dari Sibu telah menerima vaksin mereka sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Zon Tengah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mikar Changgan menjelaskan program tersebut merupakan kesinambungan kepada program vaksinasi pertama yang diadakan di Kuching pada 28 Jun lepas.

Jelasnya, atlet yang diberikan vaksinasi adalah mereka yang telah terpilih dalam skuad SUKMA Sarawak.

Bagi atlet olahraga, Jetris Foo pula, beliau kini tidak lagi perlu bimbang untuk bertanding bersama dengan peserta lain kelak kerana telah menerima vaksin. – EDISI UKAS

Share
0

add comment