Awang Tengah Ziarah Mangsa Rumah Dihempap Pokok

RABU, 7 JULAI 2021

LAWAS: Prihatin dengan keadaan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah singgah ke sebuah rumah yang dihempap pokok Belunu yang tumbang baru-baru ini.

Mangsa Jabaidah Matali, 88 tahun bersama Zainab Matahir, 61 tahun dan Mohammad Izzat Arif Mohamad Salleh 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian pada petang itu, bahagian dapur rumah Jabaidah telah dihempap pokok yang tumbang yang mengakibatkan ruang dapur rosak teruk. 

Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Lawas telah memotong dan mengalihkan dahan pokok yang tumbang. 

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut membincangkan keperluan dan sumbangan yang diperlukan kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban mangsa. 

Selesai lawatan beliau meneruskan perjalanan untuk ke Pusat pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Kampung Sualai Lawas bagi meninjau proses vaksinasi COVID-19.

Hadir sama Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share
0

add comment