Bilik Gerakan Vaksin Bahagian Miri Terima 806 Permohonan Vaksin COVID-19 Melalui Whatsapp

RABU, 7 JULAI 2021

MIRI: Bilik Gerakan Vaksin Bahagian Miri telah menerima sebanyak 806 permohonan vaksin COVID-19 melalui aplikasi Whatsapp. 

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Selasa, kaedah ini bertujuan memastikan tiada penduduk yang terlepas mendapatkan suntikan vaksin. 

“Kita telah mengambil pendekatan permohonan vaksin COVID-19 secara hybrid untuk Bahagian Miri.

“Selain mendaftar melalui MySejahtera, orang ramai boleh memberikan maklumat mereka dengan menghubungi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) atau klinik kesihatan berdekatan dan terkini menerusi aplikasi Whatsapp,” katanya. 

Beliau bersama Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri telah mengadakan tinjauan di Bilik Gerakan Vaksin bagi meninjau proses pengendalian penerimaan panggilan telefon daripada orang awam berhubung pertanyaan vaksin COVID-19 selain permohonan vaksin COVID-19 melalui aplikasi Whatsapp pada Selasa.

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas, tetapi masih belum mendapat temu janji perlu berhubung dengan Bilik Gerakan Vaksin Bahagian Miri. 

“Bagi yang berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum berdaftar atau belum menerima notifikasi untuk mendapatkan vaksin diminta untuk berhubung dengan Bilik Gerakan Vaksin Bahagian Miri melalui aplikasi Whatsapp atau menelefon bagi tujuan penyelarasan pendaftaran vaksin COVID-19.

Terdahulu, JPBB Miri telah memberitahu orang ramai yang masih belum berdaftar atau menerima sebarang notifikasi temu janji vaksin COVID-19 boleh berhubung melalui aplikasi Whatsapp di nombor 011-59284348 atau 011-59424290 dengan menyertakan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat lengkap. 

Manakala, bagi yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai vaksin boleh menghubungi Bilik Gerakan Vaksin Bahagian Miri di talian 085-322229, 085-322410, 085-322382 dan 085-322127. 

Bagi penduduk selain Daerah Miri boleh berhubung terus dengan Pejabat Daerah masing-masing iaitu Pejabat Daerah Subis 085-736401/085-719237, Pejabat Daerah Marudi 085- 755211, Pejabat Daerah Telang Usan 085-771018/085-771326/085-771325 dan Pejabat Daerah Beluru 011-63132717 (whatsapp) pada hari Isnin hingga Jumaat waktu pejabat. -EDISI UKAS

Share
0

add comment