RABU, 7 JULAI 2021
LAWAS: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Daerah Lawas perlu pastikan penduduk yang layak mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini untuk pastikan Sarawak mencapai Imuniti Kelompok pada bulan Ogos ini.
“Mereka yang layak menerima vaksin COVID-19 berumur 18 tahun ke atas di Daerah Lawas ialah seramai 33,126 orang. Manakala, yang telah mendaftar di aplikasi MySejahtera ialah 23,699 orang.
“Di sini, masih ada lagi penduduk yang belum mendaftar dan ini mesti dicari untuk diberikan suntikan vaksin.
“Setakat ini mereka yang telah mengambil dos pertama sudah 75 peratus iaitu dalam lingkungan 24,000,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Lawas (PPV) Dewan Kampung Sualai, Jalan Punang, Lawas pada Selasa.
Seramai 160 penerima menerima vaksin dos pertama jenis Sinovac bagi orang-orang kampung termasuk juga mereka yang ‘walk in’ di PPV Dewan Kampung Sualai.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, kerajaan juga sudah memudahkan kaedah penerimaan vaksin COVID-19 di Daerah Lawas ini.
“Kita juga telah memudahkan kaedah mendapatkan vaksin dengan mengadakan ‘walk in.
“Selain itu, kita juga akan melaksanakan Program Outreach Vaksinasi bagi mereka yang tidak mampu pergi ke PPV seperti uzur, sakit dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang ke rumah memberikan suntikan vaksin COVID-19.
“Justeru, bagi mereka yang telah mendapat suntikan vaksin boleh memberikan kesedaran kepada yang belum mendapat atau mendaftar vaksin COVID-19,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak menyasarkan akan mencapai Imuniti Kelompok pada bulan Ogos ini.
Turut sama hadir Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pengarah Kesihatan Daerah Lawas Dr Farida Nazahiya Mohd Salleh. -EDISI UKAS