Kluster Industri 121 Kuala Baram, Premis Papan Lapis Diletakan Di Bawah PKPD

RABU, 7 JULAI 2021

MIRI: Kluster Industri 121 Kuala Baram telah direkodkan di Daerah Miri membabitkan 113 kes positif COVID-19 di sebuah kilang papan lapis di Kuala Baram pada Selasa. 

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, pergerakan pekerja hanya terhad di kawasan kilang dan tidak melibatkan masyarakat sekitarnya.

Kesemua pekerja telah diuji dan kilang tersebut telah diperintahkan ditutup dari 5 Julai hingga 18 Julai dengan seluruh kawasan dan premis kilang diletakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sekali lagi kami ingin mengingatkan dan menegaskan bahawa industri yang dibenarkan beroperasi mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan ketat yang ditetapkan di bawah langkah-langkah kawalan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ada sekarang. 

“Agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan dengan industri telah diminta untuk melakukan pemeriksaan yang lebih kerap mengenai pematuhan SOP,” katanya. 

Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang menyiasat keenam-enam pekerja tempatan dan mengatur kuarantin serta ujian calitan COVID-19. 

Arahan juga telah diberikan untuk menempatkan semua kenalan di pusat kuarantin di hotel yang ditentukan sebagai langkah kawalan selanjutnya.

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mendesak Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) mempercepatkan kelulusan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di kawasan Kuala Baram dan di Taman Perindustrian Kuala Baram dapat segera beroperasi. 

“PPVIN Pelabuhan Miri telah diluluskan dan berfungsi sebagai PPV sehenti untuk industri dan pekerja mereka. 

“Manakala, PPVIN Pelabuhan Miri akan beroperasi pada 8 Julai 2021.

“Pasukan CITF dari Kuching telah memeriksa tempat dan susun atur yang telah disemak telah dihantar,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment