LAKIS Pergiat Usaha Bantu Masyarakat di Bahagian Serian

RABU, 7 JULAI 2021

SERIAN: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS) terus mempergiatkan usaha dalam membantu masyarakat setempat dengan melaksanakan Program Food Bank LAKIS 2021 yang tbermula pada 5 Julai lepas.

Sebanyak 50 set bakul makanan disediakan setiap minggu dan masa pengambilan bakul makanan ditetapkan pada setiap hari Rabu.

Bakul makanan tersebut telah diagihkan kepada penerima yang benar-benar terkesan akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sementara itu, Setiausaha LAKIS, Hadi Moss berkata, pata penerima yang benar-benar memerlukan bantuan boleh datang ke Pejabat LAKIS Serian untuk mengambil bakul makanan tersebut dan penerima terbuka untuk semua.

Namun katanya, mereka perlu menghubungi pihak LAKIS terlebih dahulu.

“Pelaksanaan PKP yang bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak telah menjejaskan punca pendapatan khususnya mereka yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap.

“Sehubungan itu, Program Food Bank LAKIS diperkenalkan bagi tujuan membantu mereka yang terkesan dan benar-benar memerlukan,” katanya.

Antara objektif Program Food Bank LAKIS adalah meringankan beban golongan yang terkesan dan memerlukan, menggalakkan penglibatan orang ramai dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, memupuk semangat bantu-membantu di kalangan masyarakat dan mengeratkan ukhwah sesama masyarakat.

Manakala, kaedah pelaksanaan Program Food Bank LAKIS terbuka kepada masyarakat setempat di Bahagian Serian dan mereka yang memerlukan hendaklah menghubungi pihak LAKIS secara terus untuk memudahkan koordinasi.

Pemohon akan mengambil sendiri barangan sumbangan di Pejabat Urusan LAKIS dengan membawa kad pengenalan atau mewakilkan kepada ketua kaum di kawasan mereka.

Program Food Bank LAKIS akan turut diwar-warkan untuk mendapat tajaan atau sumbangan daripada mana-mana individu mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Sumbangan berbentuk wang tunai atau cek boleh disalurkan melalui akaun Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (No. Akaun: 8604717718 –CIMB Bank).-EDISI UKAS

Share
0

add comment