Lukanisman Sasarkan 5,000 Bakul Makanan Diagihkan Di Parlimen Sibuti

RABU, 7 JULAI 2021

MIRI: Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti mensasarkan 5,000 bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Parlimen Sibuti. 

Menurut Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, peruntukan RM300,000 yang telah diperuntukan kepada setiap Ahli Parlimen ini akan dibelanjakan kesemuanya untuk agihan bakul makanan mengikut kriteria yang ditetapkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Ketua Menteri dan tambahan RM50,000 daripada peruntukan sedia ada Pusat Khidmat Sibuti melalui penjimatan program dan aktiviti yang telah dibatal sebelum ini.

“Ini adalah program pertama agihan bantuan makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di bawah Kerajaan Persekutuan. 

“Hari ini (Selasa) saya bersama dengan Ketua Kaum Vincent Sujang dari Kampung Pusut Jaya 5 datang mengagihkan lebih kurang 125 bakul makanan.

“Selepas ini, kita akan mengagihkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk diagihkan dari rumah ke rumah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melakukan agihan bakul makanan Kerajaan Persekutuan di bawah PEMULIH Parlimen Sibuti pada Selasa. 

Agihan bantuan makanan itu turut melibatkan Rumah Rose Sulan, Rumah Vincent Sujang, Rumah Jimmy Nyahen dan Rumah Jembu. 

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti telah membuat agihan sebanyak 4,555 bakul makanan melalui peruntukan sedia ada di bawah Pusat Khidmat Masyarakat Sibuti dan sumbangan syarikat serta individu

Manakala, pada 8 Jun lepas, Kerajaan Sarawak di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) telah melakukan agihan bakul makanan ke semua 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak dan kedua-dua DUN di bawah Parlimen Sibuti mengikut Ketua Isi Rumah  (KIR). 

Di DUN Bekenu, sebanyak 6,258 bakul makanan telah diagihkan dan DUN Lambir pula sebanyak 13,432 bakul makanan dengan keseluruhan sebanyak 19,690 KIR di kawasan Parlimen Sibuti. 

Dalam pada itu, Lukanisman turut mengalu-alukan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan kumpulan masyarakat prihatin yang mempunyai maklumat masyarakat yang terkesan untuk diberikan bantuan makanan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment