Masyarakat Sarawak Perlu Terus Patuhi SOP, Keadaan Masih Belum Selamat

RABU, 7 JULAI 2021

MIRI: Masyarakat di Sarawak diminta untuk terus patuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjaga diri masing-masing.

Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Wazi Seman berkata ini penting bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 ini daripada terus meningkat. 

“Kedaaan penularan wabak pandemik COVID-19 masih ada dan mula menampakkan penurunan di Sarawak.

“Bagaimanapun, kita jangan terlalu mengambil mudah keadaan ini dan terus patuhi SOP dan menjaga diri untuk pastikan kita kekal selamat,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekatan Jalan Raya (SJR) di Bandaraya Miri pada Selasa. 

Antara SJR yang dilawati ialah SJR Sungai Rait, SJR Lambir, SJR Tanjung, SJR BP Traffic, SJR Bypass, SJR GK dan SJR Kenyalang. 

Mengulas mengenai lawatan ini, Wazi menjelaskan lawatan tersebut adalah untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan yang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menjaga SOP PKP di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS

Share
0

add comment