PPV Bergerak Klinik Kesihatan Simpang Bukut Permudahkan Penduduk Terima Suntikan Vaksin COVID-19

RABU, 7 JULAI 2021

TATAU: Klinik Kesihatan Simpang Bukut telah dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak bagi keperluan penduduk di kawasan Lubok Bukut. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, pembukaan PPV Bergerak membolehkan penduduk di kawasan Lubok Bukut tidak perlu lagi pergi ke bandar untuk mendapatkan vaksin COVID-19. 

“Walaupun Klinik Kesihatan Simpang Bukut masih belum dibuka secara rasmi, tetapi jumlah penduduk yang hadir dan menerima vaksin COVID-19 sangat menggalakkan. 

“Saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama penduduk, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan kaunselor di kawasan ini kerana telah memberikan kerjasama yang baik dan bergotong-royong membersihkan kawasan Klinik Kesihatan Simpang Bukut yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MRP di Rh Jeffery Irut, Lubok Bukut, Jalan Ladang 4, Mukah pada Isnin.

Dalama pada itu, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut memberitahu pada tahun ini cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) akan menghantarnya ke rumah rumah panjang tidak seperti sebelum ini semua penerima akan dipanggil ke Pejabat Daerah.

Manakala, bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang masih belum menerima cek MRP diminta bersabar kerana masih ada cek peruntukkan yang masih dalam proses. 

Pada majlis itu, sebanyak 5 buah JKKK rumah panjang menerima peruntukan MRP berjumlah RM75,000.

Antara JKKK rumah panjang yang menerima cek MRP ADUN Kakus ialah JKKK Rh Juki anak Lambul, JKKK Rh Jeffery anak Irut, JKKK Rh Steven anak Ansi, JKKK Rh Jinkin anak Juin dan RANDO Mukah. 

Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Mukah Peleadzman Ahip turut meminta semua penduduk rumah panjang yang belum divaksin untuk menghantar nama kepada tuai rumah masing-masing

“PPV Bergerak Klinik Simpang Bukut telah diadakan selama dua hari ini pada 4 hingga 5 Julai bagi penduduk sekitar Bukit Dinding dan Begeri. 

“Manakala, bagi kawasan di Jalan Lubok Bukut ini akan mendapat suntikan vaksin di PVV Klinik Kesihatan Simpang Bukut selepas ini pada tarikh yang akan dimaklumkan nanti,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment