RABU, 7 JULAI 2021
MUKAH: Dianggarkan sebanyak 90 peratus penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus telah mendapatkan dos pertama suntikan vaksin COVID-19.
Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Datuk John Sikie Tayai, jumlah tersebut dapat dicapai susulan pendekatan kerajaan mewujudkan Program ‘Outrech’ untuk penduduk luar bandar mendapatkan vaksin.
“Di DUN KAKUS, kawasan Bukut ini mungkin Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terakhir dibuka bagi kawasan ini.
“Di Tatau termasuk SK Bukit Arip di mana penduduk di Ulu Tatau sudah divaksin.
“Perkhidmatan doktor udara turut digunakan untuk memberi vaksin kepada penduduk di Ulu Kakus.
“Jadi saya rasa kita telah mencapai 90 peratus penduduk yang telah menerima vaksin,” katanya.
Bercakap kepada UKAS semasa ditemui Ketika meninjau proses pemberian vaksin di Klinik Kesihatan Bukut, Mukah pada Isnin, beliau juga menggesa Kerajaan Pusat menambah bekalan dos vaksin kepada Sarawak untuk mencapai mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin.
Sementara itu, Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir menjelaskan sebanyak 60 peratus penduduk di bahagian Mukah telah mendapatkan suntikan dos pertama manakala 16.72 peratus dos kedua.
Dalam pada itu, seramai 520 orang penduduk telah menerima suntikan vaksin di PPV ‘outreach’ Klinik Kesihatan Bukut hingga Isnin yang dibuka untuk penduduk di sekitar jalan Bukut.-EDISI UKAS