Seramai 500 Individu Dijangka Terima Vaksin Dalam Program Vaksinasi Bergerak PPV Kampung Sagah

RABU, 7 JULAI 2021

KUCHING: Seramai 500 orang dijangka menerima suntikan dos vaksin dalam Program Vaksinasi Bergerak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampung Sagah pada Khamis.

Ketua Kaum Kampung Sagah, Hilary Victor memberitahu, terdapat kira-kira 400 penduduk kampung berkenaan dijangka menerima vaksin, manakala selebihnya penerima daripada kampung berhampiran.

Menurutnya, beliau mewakili penduduk kampung merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi bergerak itu.

“Hari ini (Rabu) ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengadakan gotong royong sebagai persiapan untuk PPV bergerak.

“Program vaksinasi bergerak ini dilakukan ekoran permintaan penduduk kampung melalui JKKK Kampung terutama di kalangan mereka yang uzur dan tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV berhampiran,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Sementara itu, beliau memberitahu, langkah berkenaan juga membantu mereka yang tidak mempunyai MySejahtera untuk mendapatkan vaksin. -EDISI UKAS

Share
0

add comment