Timbalan Ketua Menteri Serah Kelulusan Projek Rakyat, Bantuan Laptop Dan Geran MRP

RABU, 7 JULAI 2021

LAWAS: Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Bukit Sari ada menubuhkan Biro Pendidikan bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan dan penerangan mengenai keperluan pendidikan di Institut Pengajian Tinggi (IPT). 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini penting untuk memastikan mereka mendapat pendidikan tinggi dan berminat meningkatkan kemahiran.

“Kita cuba untuk membantu anak-anak yang ingin terlibat dalam pendidikan berteraskan kemahiran misalnya mempelajari latihan dan institusi kemahiran seperti vokasional atau CENTEXS.

“Begitu juga dengan jenis-jenis kursus dan prospek dalam mendapatkan pekerjaan serta bagaimana mendapatkan biasiswa dan bantuan lain supaya masyarakat kerajaan ada menyediakan kemudahan ini.

“Di samping itu, Biro Pendidikan Pusat Khidmat PBB juga membantu membiayai perbelanjaan anak-anak ke peringkat tinggi dengan menghulurkan bantuan dan program ini akan kita teruskan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Rakyat Infrastruktur Rosak Akibat Banjir dan Penyerahan Bantuan Laptop Biro Pendidikan PBB Bukit Sari di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Selasa. 

Pada majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah telah menyerahkan simbolik 23 kelulusan Projek Rakyat bagi infrastruktur yang rosak akibat banjir berjumlah RM3.2 juta dan penyerahan cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RKB Lawas, JKKK Skim Perumahan Banting, JKKK Kampung Sebangan, JKKK Kampung Batu Dua dan JKKK Kampung Temangis. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut memaklumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan RM3.2 juta untuk 23 projek infrastruktur yang rosak akibat banjir dan RM1.7 juta untuk membantu setiap rumah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. 

“Sumbangan banjir untuk rumah-rumah yang terjejas akibat banjir adalah sumbangan ihsan. 

“Kita cuba membantu mana-mana masyarakat yang terjejas dengan pelbagai bencana atau kemalangan. 

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang dan daerah akan bekerjasama dengan Pusat Khidmat PBB DUN Bukit Sari untuk menyenaraikan berapa ketua isi keluarga yang perlu diberi bantuan,” ujarnya. 

Datuk Amar Awang Tengah turut memberitahu Kerajaan Sarawak telah memberi dan meneruskan Program Perumahan Rumah Miskin Saarwak (PPRMS) sebanyak RM1 juta termasuk di DUN Bukit Sari. 

“Pelaksanaan PPRMS ini dikendalikan melalui jawatankuasa di bawah Pusat Khidmat PBB DUN Bukit Sari. 

“Jawatankuasa ini terdiri daripada orang parti, pejabat daerah, jabatan-jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan input daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). 

“Sudah banyak rumah yang telah dilaksanakan di bawah PPRMS dan sehingga Mei sebanyak 257 buah rumah telah dibaik pulih yang melibatkan kos hampir RM2.5 juta,” ujarnya.

Program berjalan lancar dan seramai 6 orang pelajar telah menerima sumbangan dan tiga orang lagi menerima bantuan kerusi roda yanng merupakan sumbanganan Biro Pendidikan dan Biro Kebajikan Pusat Khiddmat PBB DUN Bukit Sari.

Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menyerahkan geran MRP kepada beberapa buah kampung di sepanjang Jalan Punang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari di Rumah Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Sualai.

Antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima geran MRP ialah JKKK Kampung Sualai, JKKK Kampung Belangsat, JKKK Kampung Belipat, JKKK Kampung Batong, JKKK Kampung Belimbing dan JKKK Kampung Serdang. 

Selain JKKK, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut menyerahkan kelulusan geran MRP kepada Kelab Belia Kampung Sualai dan juga Surau Al Qardawi, Kampung Sualai.

Hadir sama Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share
0

add comment