Turunkan Bendera Putih, Hubungi ‘Welfare Task Force’ Untuk Dapatkan Bantuan Makanan

RABU, 7 JULAI 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengambil inisiatif mewujudkan ‘Welfare Task Force’ yang berfungsi membantu penduduk yang memerlukan bantuan makanan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pemangku Pengerusi JPBB Miri Jamalie Busri dalam kenyataan media pada Selasa berkata, ini adalah satu strategi dan usaha sama semua badan kerajaan untuk membantu dan menyelaraskan penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan di Bahagian Miri dalam tempoh PKP ini. 

“JPBB Miri ada menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat individu yang memanipulasi kempen ‘kibar bendera putih’.  Meskipun sudah menerima bantuan, mereka masih enggan menurunkan bendera putih. 

“Ini sudah tentu tidak adil kerana ada di antara mereka yang menerima bantuan sehingga 6 kali, sedangkan orang lain yang lebih memerlukan tidak menerimanya.

“Justeru, JPBB Miri menggesa bagi yang telah menerima bantuan agar menurunkan ‘bendera putih’. Melalui jawatankuasa bertindak yang telah diwujudkan ini golongan yang memerlukan bantuan sudah tidak perlu menaikkan ‘bendera putih’ lagi dan hanya perlu menghubungi ‘Welfare Task Force’ di nombor 085-419 073, 085-419 072, 085-424 534 dan 085-424 535 atau melalui email pkmbmirisarawak@gmail.com untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Dalam pada itu, ujar Jamalie lagi, JPBB Miri juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana pertubuhan kebajikan NGO di Miri dalam ‘Welfare Task Force’ ini.

“Bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menyertai atau terlibat dalam aktiviti kebajikan dalam tempoh PKP di Bahagian Miri agar berdaftar dengan ‘Welfare Task Force’ yang telah ditubuhkan JPBB Miri dengan menghubungi sekretariat Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri. 

“Semua NGO yang bergabung di bawah “Task Force” ini perlu merujuk kepada sekretariat untuk diselaraskan terlebih dahulu oleh Pegawai Kebajikan yang akan menyiasat, menyelaras dan mengemaskini rekod bantuan sebelum mengatur penghantaran bantuan oleh pihak NGO. 

“Setiap bantuan yang telah dihantar perlu dilaporkan semula untuk tujuan kemaskini rekod penerimaan bantuan,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment