ADUN Tanjong Datu Serah Sumbangan, Penghargaan Berterusan Buat Penduduk

KHAMIS, 8 JULAI 2021

LUNDU : Seramai 246 orang pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak.

Simbolik penyampaian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu mewakili Pengarah Yayasan Sarawak kepada wakil Pegawai Pendidikan Daerah Lundu, Khamisah Narudin.

Dalam majlis sama, Datuk Amar Jamilah juga menyampaikan Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2020, berjumlah RM10,200 kepada seramai 45 pelajar cemerlang bagi DUN Tanjong Datu.

Datuk Amar Jamilah semasa berucap menzahirkan rasa bangga dan syukur atas kecemerlangan anak-anak Lundu dan berharap ia akan berterusan, sekaligus melahirkan generasi pemimpin yang hebat pada masa akan datang.

Selain itu, sebanyak 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan dalam daerah Lundu turut menerima Geran E Khas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM51,000, bagi tujuan pelaksanaan aktiviti termasuk kebajikan ahli.

Majlis juga telah menyaksikan simbolik penyampaian Projek Fasilitasi Pertanian kepada 5 penerima, bernilai RM7,000 setiap satu yang mana jumlah keseluruhan peruntukannya adalah RM35,000.

Dalam pada itu, selaras dengan peningkatan kes COVID-19 dan juga kerisauan terhadap kebajikan rakyat setempat, Datuk Amar Jamilah, mewakili anaknya yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Peladang Sarawak merangkap Ketua Pemuda PBB Tanjong Datu, Azizul Anwar Pehin Sri Adenan turut menyumbang dua unit alat nyahkuman kepada SMK Lundu dan SMK Sematan.

Azizul Anwar Adenan juga telah menyumbangkan sebanyak 88 pek bekalan makanan yang diuruskan oleh Persatuan Bekas Tentera Daerah Lundu, Persatuan Bekas Polis Daerah Lundu dan PERKIM Lundu, yang mana simbolik penyerahan juga disempurnakan oleh Datuk Amar Jamilah dalam majlis yang sama. -EDISI UKAS

Share
0

add comment