KHAMIS, 8 JULAI 2021
MIRI: Dunia kini sedang menghadapi ancaman wabak COVID-19 dengan orang ramai hidup di bawah ketakutan sehingga menyebabkan ekonomi dunia mengalami kemelesatan.
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata, beliau berasa berbesar hati dapat mengikuti kempen yang sangat bermakna ini apabila menyaksikan ramai peniaga berkerjasama memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesusahan hidup.
“Kita menghadapi cabaran yang belum pernah dialami sebelum ini;
“Saya berharap agar kempen ini dapat benar-benar membantu warga yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama, kewarganegaraan dan pendirian politik.
“Dengan tujuan membantu mereka mengatasi masalah kehidupan dengan masa yang sama mewujudkan satu masyarakat yang bersatupadu dan harmoni.
“Ini juga akan membantu komuniti Miri supaya lebih bersedia untuk menhadapi fasa pemulihan sebaik sahaja sektor ekonomi dibuka semula,” katanya, menerusi kenyataan media semasa menghadiri pelancaran “Kempen Komuniti IGTC-PARC” pada Rabu.
Mengulas mengenai bendera putih, Adam Yii terharu melihat masyarakat di Miri yang bermurah hati menawarkan pertolongan tetapi dalam masa sama mengecam tindakan mereka yang menyalahgunakan gerakan bendera putih yang diedarkan di media sosial baru-baru ini.
“Saya berasa sedih ada di antara mereka yang menyalahgunakan keprihatinan orang ramai apabila masih lagi mengibarkan bendera putih walaupun telah mendapat pertolongan daripada pelbagai pihak.
“Sebaliknya, hendaklah bersikap jujur dan tidak menyalahgunakan tindakan kemanusiaan ini oleh masyarakat yang baik hati.
“Jangan biarkan tindakan egois dan tamak anda menyebabkan mereka yang lebih memerlukan bantuan tercicir daripada dibantu,” ujarnya.
Hadir sama Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim SHin, Pemangku Resident Miri Jamalie Busri, Pengarah Urusan PARC Shared Office Andrew Lau, Pengarah Urusan Worldwide Offshore Services Sdn Bhd Jimmy Ho, Pengarah Urusan IG Training Centre Sdn Bhd Joseph Kong dan Pengarah Urusan Fastart Sdn. Bhd Michael Lee. -EDISI UKAS