Demam Babi Afrika Jejas Ekonomi Pertanian: Tan Sri James Masing

KHAMIS, 8 JULAI 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing telah mengadakan taklimat dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (DVS) Sarawak melalui aplikasi Zoom pada Khamis.

Taklimat tersebut adalah berkenaan dengan penerangan mengenai Demam Babi Afrika (ASF) yang telah dikesan di Sarawak baru-baru ini.

Menurut DVS, ASF yang disyaki di Sarawak mungkin berasal dari negara jiran iaitu Kalimantan dan kes di Sabah dikhuatiri berasal dari Filipina.

Dalam pada itu, Tan Sri James Masing memberitahu, penyakit ASF ini tidak menjangkiti manusia tetapi masih boleh menjadi pembawa.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, penternak khinzir diingatkan untuk tidak memberikan sisa daging sebagai makanan khinzir dan mengasingkan pakaian serta kasut yang digunakan apabila berhampiran dengan ternakan mereka.

“Mereka juga diingatkan untuk tidak memindahkan khinzir yang sakit di ladang mereka atau menggunakan daging dari khinzir yang sakit,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sebarang penyakit atau kematian pada khinzir ternakan mesti dilaporkan kepada DVS.

Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Pengarah DVS, Dr Adrian Susin Ambud, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation, Dr Zulkipli Aton. –EDISI UKAS

Share
0

add comment