JBPM Zon 6 Miri Terima Sumbangan Peralatan Sanitasi Daripada Persatuan Hakka

KHAMIS, 8 JULAI 2021

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri telah menerima peralatan sanitasi sumbangan Persatuan Hakka Miri dan Pemuda Hakka Miri bagi membantu membasmi penularan COVID-19 di tempat awam. 

Sumbangan telah disampaikan Presiden Persatuan Hakka Miri Datuk Lee Kim Shin kepada Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Sarawak PgKB 1 Law Poh Kiong di Balai Bomba Lopeng pada Khamis. 

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak memberitahu sumbangan berupa 12 set Elektrik Spray Drum 20 Liters dan Elektrik Air Blower Sprayer itu akan mempercepatkan tugas kerja operasi sanitasi setiap hari yang dilakukan oleh Bomba dan Penyelamat. 

Sebelum ini, anggota Bomba menggunakan penyembur manual untuk operasi sanitasi dan sekarang dengan adanya Elektrik Spray Drum 20 Liters dan Elektrik Air Blower Sprayer akan menjadi lebih mudah untuk kerja-kerja sanitasi dan mempercepatkan kerja sanitasi menyelesaikan tugas harian.

Ini kerana anggota Bomba perlu melakukan kerja-kerja sanitasi pada setiap hari sekurang-kurangnya 12 tempat sehari di bahagian Miri, contohnya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Miri, Dewan Suarah Miri. 

“Operasi sanitasi ini belum termasuk di tempat awam, hotel, pengangkutan awam seperti bas, lori dan van. 

“Oleh itu, tugas operasi sanitasi bagi anggota Bomba amat banyak dalam sehari,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Miri Hakka Liew Han Ping berkata, Persatuan Hakka Miri mengambil berat mengenai keselamatan barisan hadapan seperti anggota Bomba yang bekerja tanpa lelah untuk memerangi penularan pademik COVID-19.

“JBPM akan menggunakan PPE, bahan kimia dan peralatan sanitasi itu untuk melakukan disinfeksi di bangunan dan kawasan awam di bandar-bandar utama dan pekan di Miri.

“Walaupun sumbangan ini sikit, adalah diharapkan ianya dapat membantu memudahkan lagi kerja-kerja sanitasi pada masa akan datang,” katanya 

Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pengerusi Persatuan Miri Hakka Liew Han Ping, Pemuda Hakka Sally Liew Li Kheng, Naib Pemuda Andy Jong Wan Joon dan Penasihat Pemuda Hakka Miri Liew Li Mui. -EDISI UKAS

Share
0

add comment