Kaedah ‘Suntik Dulu Daftar Kemudian’ Permudah, Galak Masyarakat Luar Bandar Ambil Vaksin

KHAMIS, 8 JULAI 2021

BINTANGOR: Kaedah ‘suntik dulu daftar kemudian’ terbukti berkesan dalam menarik lebih ramai penyertaan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab, ia boleh dilihat dengan sambutan menggalakkan masyarakat di kawasan Mupong terhadap program vaksinasi bergerak yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SK Mupong.

Jelasnya, program selama dua hari itu berjaya menyuntik seramai 350 penduduk, melebihi 50 dari sasaran penduduk yang ditetapkan.

“Difahamkan ada yang datang dari luar kawasan namun begitu pasukan PPV tetap menerima kedatangan mereka kerana kita mahu semua rakyat di kawasan ini menerima vaksin.

“Justeru, kaedah ‘suntik dulu daftar kemudian’ untuk memastikan ramai yang akan menerima suntikan vaksin adalah langkah yang terbaik diperkenalkan oleh Kerajaan melalui Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” katanya kepada UKAS selepas meninjau proses pemberian vaksin itu pada Rabu.

Tambahnya, kaedah ‘mopping’ turut dipraktikkan sebagai alternatif untuk memudahkan penduduk yang sakit, terlalu tua atau sukar untuk bergerak ke PPV menerima suntikan.

Dalam hal ini, beliau menyeru tuai-tuai rumah untuk memaklumkan kepada petugas kesihatan mana-mana penduduk yang menghadapi masalah untuk ke PPV agar mereka boleh diberikan suntikan di kediaman masing-masing.

Yusuf turut mengucapkan terima kasih dan menghargai pengorbanan semua para petugas PPV Outreach Mupong yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti Rela, APM, Polis, Pejabat Daerah Meradong, KKM, Bomba dan pihak sekolah kerana memastikan proses vaksinasi selama dua hari itu berjalan lancar.

Dalam pada itu, Yusuf memberitahu bantuan bakul makanan dijangka akan diagihkan kepada hampir 10,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Tanjong Manis sebelum sambutan Hari Raya Korban. – EDISI UKAS

Share
0

add comment