Keluarga Anggota RELA Meninggal Dunia Semasa Bertugas Nikmati Faedah Dari Perkeso

KHAMIS, 8 JULAI 2021

SIBU: Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee pada Khamis sempat meluangkan masa menyantuni keluarga Mohd Azinatulazizi, anggota RELA yang meninggal dunia semasa bertugas di PKRC Laila Taib Sibu pada 2 Julai lepas.

Lawatan itu juga bertujuan menyampaikan Cek Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada isteri allahyarham, Normardiah Mansor di kediaman mereka di Kampung Bahagia Jaya Teku Sibu.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Azinatulaziz. Beliau meninggal dunia semasa menjalankan tugas di salah satu PKRC Covid-19 kita.

“Terima kasih kepada Perkeso kerana menyampaikan sumbangan awal untuk pengkebumian. Tapi yang paling penting kita bersyukur kerana allahyarham pernah mencarum dengan Perkeso dan oleh itu keluarga beliau mendapat faedah pencen Penakat.

“Satu pencen yang memberi sumbangan seumur hidup kepada isteri dan setiap satu anak-anak beliau akan menerima sehingga mereka berumur 21 tahun atau sehingga mereka berkahwin. Justeru, isteri beliau akan mendapat RM870 sebulan,” katanya kepada media semasa ditemuramah.

Menjelas lanjut kepada media, Dr Annuar memberitahu usaha juga akan diatur bersama Pejabat Kebajikan untuk memastikan pendidikan anak-anak allahyarham terus terjaga.

Dalam hal ini, Dr Annuar mencadangkan agar anak-anak allahyarham ditempatkan di Pusat Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (​PERYATIM) jika dipersetujui ibu mereka.

“Saya beranggapan pusat ini yang terbaik untuk anak beliau kerana penjagaan yang rapi, di mana makan, minum dan persekolahan terjaga. Selain itu pergi dan balik dari sekolah dijaga dan mendapat wang saku juga,” tambah Dr Annuar.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Cawangan Sibu, Tan Phang Chia ketika ditemuramah berkata hasil semakan, waris allahyarham layak untuk menerima pencen Penakat tersebut.

Katanya, pencen Penakat bermaksud kematian sebelum umur 60 tahun dan memenuhi syarat caruman dan berlaku atas sebarang sebab. – EDISI UKAS

Share
0

add comment