Penduduk Pulau Rian Jalani ACD Terima Bantuan Makanan

KHAMIS, 8 JULAI 2021

TATAU: Penduduk di penempatan Pulau Rian, Sangan Tatau yang telah dikenakan Pengesanan Kes Aktif (ACD) menerima bantuan makanan dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus. 

Wakil Pusat Khidmat DUN Kakus Eugene John Sikie berkata, penduduk mula dikenakan ACD pada 30 Jun lepas dan sumbangan ini adalah untuk meringankan beban penduduk di kawasan berkenaan yang tidak dapat keluar membeli dan mendapatkan makanan.

“Sepanjang tempoh ACD selama dua minggu itu, penduduk tidak dibenarkan keluar ke pekan dan kebun untuk membeli makanan.

“Bantuan makanan ini diharap dapat meringankan beban mereka yang sedang menghadapi ACD ini,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada wakil penduduk pada Rabu.

Seramai 44 orang penduduk dari 10 buah keluarga di penempatan Pulau Rian menerima bantuan makanan.

Sebelum ini, penduduk di penemapatan Pulau Rian juga telah menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang pada 13 Jun 2021 dan bantuan makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 30 Jun 2021. -EDISI UKAS

Share
0

add comment