Permohonan Sertai ‘TEGAS Startup Lab’ Kini Dibuka

KHAMIS, 8 JULAI 2021

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bekerjasama dengan WatchTower & Friends dan pitchIN menganjurkan Program ‘TEGAS Startup Lab’ (TSL) kali keempat secara maya yang kini dibuka untuk permohonan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh memberitahu, TSL merupakan program pecutan peringkat awal yang menghubungkan syarikat pemula dengan mentor, pelabur dan pakar industri untuk mencapai skala serta menjana perkembangan dengan berkesan.

“TSL berfungsi dalam membantu syarikat pemula dan usahawan tempatan mencapai produk-sesuai-pasaran.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, TSL telah membantu 15 syarikat pemula dari seluruh Sarawak dengan memberikan bimbingan, fasilitasi pendanaan, akses kepada pasaran dan rakan ekosistem serta akses percuma ke TEGAS Digital Innovation Hub di Kuching, Bintulu dan Miri,” katanya.

Pengerusi TEGAS itu menambah, mereka turut diberikan akses selama lima bulan di TEGAS Digital Inovation Hub di Kuching, Bintulu, Miri dan Escape by Etiqa di Kuala Lumpur serta akses selama enam bulan bagi platform bimbingan dalam talian FutureLab.

“Faedah lain termasuk biasiswa untuk kursus pensijilan profesional dalam talian dari Digital Marketing Institute dan laluan hijau untuk menyertai program ‘scale-up’ yang dianjurkan oleh TEGAS Digital Village,” ujarnya.

Jelasnya, TSL terbuka kepada syarikat pemula dan perniagaan yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau badan pendaftaran lain yang diiktiraf dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pemegang saham Sarawak atau seorang pengasas dari Sarawak yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan bukti hasil pemerolehan pelanggan.

“Hanya lima syarikat pemula yang akan dipilih untuk program selama lima bulan ini,” tambahnya lagi.

Datu Len memaklumkan bagi mereka yang berminat boleh membuat permohonan di bit.ly/TSLA4. –EDISI UKAS

Share
0

add comment