PPVIN Mydin Petra Jaya Vista Tunku Mula Beroperasi, Sasar Suntik 1,000 Orang Sehari

KHAMIS, 8 JULAI 2021

KUCHING: Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Mydin Petra Jaya Vista Tunku mula beroperasi sejak Rabu dan mensasarkan untuk menyuntik dos pertama kepada seramai 1,000 orang dalam masa satu hari.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, PPVIN itu dijangka akan memberikan vaksin kepada kira-kira 3,000 orang bermula dari Rabu hingga Sabtu ini.

“Program pemberian vaksin ini merupakan usaha kita untuk mempercepatkan dan melancarkan program vaksinasi di negeri Sarawak.

“Jadi, saya bersyukur dan menghargai inisiatif yang diadakan oleh agensi yang terlibat membantu Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke PPVIN di Mydin Vista Tunku pada pagi Khamis. 

Dalam pada itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut berkata, Sarawak merupakan antara negeri teratas yang mempunyai liputan vaksinasi yang baik dan mencatatkan lebih daripada 60 peratus setakat ini.

PPVIN di situ memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada sektor swasta dan industri yang menyasarkan golongan pekerja bagi mempercepatkan program imunisasi kepada seluruh rakyat. 

Antara agensi yang terlibat adalah Sarawak Energy Berhad, Emart Holdings Sdn Bhd, iCom Square Management Sdn Bhd, City One MC Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd.

Lawatan turut diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling dan Ketua Pegawai Eksekutif Berkumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili.-EDISI UKAS

Share
0

add comment