Rumah Adang Ulu Ridan Dan Rh Dee Ulu Ridan Terima Bantuan Makanan Daripada ADUN Mulu

KHAMIS, 8 JULAI 2021

MARUDI: Dua buah rumah panjang iaitu Rumah Adang Ulu Ridan dan Rh Dee Ulu Ridan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Susulan itu, Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala telah memberikan sumbangan bantuan makanan kepada kedua-dua rumah panjang tersebut.

“Bantuan ini sebagai satu sumbangan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan akibat dikenakan PKPD sejak lebih empat minggu yang lepas.

“Bantuan makanan ini sebagai tambahan kepada bantuan yang telah diberikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marudi sebelum ini,” katanya yang diwakili Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan pada Rabu. 

Sebanyak 25 buah keluarga yang terjejas menerima bantuan makanan berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi, minyak masak, teh, makanan tin, mi segera dan keperluan lain. 

Rumah Adang telah dilanjutkan pelaksanaan PKPD memandangkan terdapatnya kes positif COVID-19 baharu pada 24 Jun 2021 dan Rh Dee pula telah tamat PKPD pada 24 Jun lepas. 

Turut serta Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Marudi Reagen Edwin, wakil JPBD Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau dan Tuai-tuai Rumah. -EDISI UKAS

Share
0

add comment