Sarawak Fokus Beri Vaksin Kepada 2.2 Juta Rakyat, Tiada Istilah ‘Imuniti Kelompok’ Lagi

KHAMIS, 8 JULAI 2021

SPAOH: Sarawak tidak lagi menggunakan istilah ‘imuniti kelompok’ tetapi memfokuskan usaha memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada 2.2 juta rakyatnya.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sehingga Selasa, seramai 1,612,639 rakyat negeri ini telah mendapatkan vaksin.

“Daripada jumlah tersebut 1,254,639 atau 61.4 peratus telah mendapatkan vaksin dos pertama manakala 357, 574 atau 17.5 peratus telah melengkapkan dos kedua.

“Jadi kita tidak lagi bercakap tentang imuniti kelompok dan kini fokus kepada usaha memvaksin 2.2 juta rakyat yang layak,” katanya,” katanya.

Bercakap kepada media selepas lawatan kerja ke Betong dan Spaoh pada Rabu, tambahnya, Kerajaan Negeri juga amat menghargai usaha Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memastikan negeri ini mendapat bekalan vaksin mencukupi.

“Dengan bekalan yang mencukupi, program vaksinasi di Sarawak dapat dilengkapkan pada penghujung Ogos ini.

“Kita juga mewujudkan unit bergerak untuk memberi vaksin kepada penduduk pedalaman di Bario, Baram, Kapit, Belaga, Miri dan kawasan-kawasan terpencil yang lain,” tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, JPBNS akan mengadakan mesyuarat pada hari ini bagi membincangkan persiapan Sarawak untuk memasuki Fasa 2 Rancangan Pemulihan Nasional (NRP).

“Mesyuarat ini akan menyentuh keperluan Sarawak untuk dibahagikan kepada zon yang berbeza dan Langkah yang perlu dilakukan.

“Sekiranya angka harian kes positif terus menunjukkan trend penurunan seperti beberapa hari lepas, jadi negeri ini perlu segera memasuki Fasa 2,” jelasnya.

Dalam lawatan kerja tersebut beliau telah menyempurnakan penyerahan sumbangan bakul buah-buahan yang dianjurkan Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Betong dan Pertubuhan Peladang Kawasan Saribas kepada para petugas dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Panglima Rentap, Betong.

Datuk Amar Douglas Uggah turut menghadiri taklimat berkenaan perancangan dan perkembangan pelaksanaan projek-projek kerajaan khususnya di kawasan DUN N.37 Bukit Saban.

Lawatan kerja beliau diteruskan dengan meninjau pembinaan Projek Fertigasi Terbuka (Berstruktur Jejaring Untuk Tanaman Halia) penduduk Rumah Enteri Lengkoi di Samu, Paku, Spaoh dan tapak projek ternakan khinzir penduduk Rumah Entinggang Meta di Munggu Gernis, Spaoh.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Dr. Richard Rapu. -EDISI UKAS

Share
0

add comment